TIPS PEMILIHAN KASUT FUTSAL YANG SESUAI

 

Kasut yang sesuai merupakan elemen penting bagi seseorang pemain futsal sebelum turun beraksi.

Begitu banyak pilihan kasut futsal di pasaran tanah air pada ketika ini pasti membuatkan anda ‘rambang mata’ untuk memilih kasut yang secocok mengikut citarasa anda.

Boleh dikatakan hampir setiap bulan ada sahaja model kasut terkini yang dikeluarkan oleh jenama-jenama kasut futsal terkenal.

Dalam usaha kami untuk mengurangkan ‘pening kepala’, Extravaganza Futsal Shop (EFS) akan kongsikan beberapa tips berguna yang boleh anda praktikkan sebelum memilih kasut futsal yang sesuai:-

 

1) Ketahui jenis kaki anda terlebih dahulu

Secara umumnya kaki manusia sebenarnya mempunyai 3 jenis, iaitu normal, flat dan juga high arch.

Ketiga – tiga jenis kaki ini mempunyai kemampuan yang berbeza. Sekiranya anda tidak mengetahui jenis kaki anda, jangan risau kerana promoter atau kakitangan di kedai yang anda kunjungi akan membantu.

Pemilihan kasut sukan futsal berdasarkan jenis kaki perlu diambil kira bagi menjanjikan keselesaan dan keselamatan seseorang pemain. Jauhi daripada kebiasaan memilih kasut yang hanya sedap dipandang mata. 

Anda berkemungkinan akan mudah mengalami kecederaan sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan.

 

2) Keselesaan

Kasut yang mahal dan cantik dipandang tiada guna sekiranya ia tidak menepati keselesaan yang anda perlukan ketika memakai kasut tersebut.

Jika anda memiliki kaki yang lebar, jangan pula berhajat untuk memiliki kasut futsal berbentuk 'slim'. 

Cuba kedua-dua belah kasut dengan memakai stokin dan ambil sedikit masa dengan melakukan pergerakan di sekitar kedai bagi menyesuaikan diri dalam mendapatkan keselesaan awal ketika memakai kasut yang dipilih.

 

 3) Kasut yang ringan

Seperti diketahui sukan futsal sememangnya memerlukan pergerakan yang begitu pantas baik ketika bertahan mahupun sewaktu pasukan anda melancarkan serangan ke kubu lawan. Secara logiknya, kasut futsal yang lebih ringan akan lebih membuatkan anda selesa.

Sekira ditanya kepada pemain futsal tanpa mengira status profesional atau amatur, kasut yang ringan akan menjadi pilihan majoriti daripada mereka ketika beraksi. 

 

4) Ikut keperluan bajet anda

Anda mungkin sudah arif tentang harga kasut futsal di pasaran ketika ini. Semakin mahal harga sepasang kasut itu, makin terserlah kualitinya.

Namun, sekiranya bajet anda sedikit terhad, jangan risau kerana masih terdapat kasut berkualiti yang dijual pada harga yang lebih rendah berbanding kasut premium. 

 

5) Material kasut

Anda juga perlu ketahui serba sedikit berkenaan material pembuatan kasut futsal. Kasut yang diperbuat daripada sintetik akan lebih tahan lama berbanding kulit dan kain.

Bagi kulit pula ia akan lebih mengikut bentuk kaki anda manakala material kain yang lembut pula lebih memberikan keselesaan.

 

Rumusan

Diharapkan tips yang dikongsikan ini dapat menjadi panduan ringkas buat anda untuk membeli kasut futsal yang bakal menjadi 'senjata' ketika anda beraksi.

Untuk mengetahui promosi atau kasut futsal terkini di pasaran tanah air, anda boleh ke laman Facebook dan Instagram rasmi Extravaganza Futsal Shop atau terus ke kedai fizikal EFS di cawangan Ipoh dan Shah Alam.