PERAK UNGGULI UPSI FUTSAL MEN CHALLENGE 2019

 

Pasukan Futsal Perak memperoleh tonik berguna menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 selepas berjaya menggungguli saingan UPSI Futsal Men Challenge 2019 yang diadakan di UPSI Arena, Tanjung Malim pada 17 dan 18 Mei lalu.

Kejohanan futsal jemputan empat pasukan itu turut disertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar dan sebuah lagi pasukan yang akan turut serta dalam saingan MPFL 2019 iaitu Kuala Lumpur.

Selepas cemerlang menewaskan Pahang Rangers (4-1), Kedah (3-2) dan Pulau Pinang (10-2) yang sekaligus menjuarai Piala KFA 2019 pada April lalu, skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Ruzaley Abdul Aziz itu terus mengekalkan momentum terbaik dengan kejayaan di Tanjung Malim itu.

Perak yang masih mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu serta membawa masuk penjaga gol berpengalaman, Mohd Firdaus Razali melepasi saingan pertama selepas berjaya menundukkan tuan rumah, UPSI dengan keputusan 4-2.

Saingan hari kedua menyaksikan Perak terikat 2-2 bertemu Kuala Lumpur dan aksi penentuan juara digunakan sepenuhnya skuad 'Yob' itu apabila membelasah USAS dengan keputusan 15-2 sekaligus menobatkan Perak selaku juara menerusi kelebihan jaringan berbanding Kuala Lumpur.

UPSI berada di tempat ketiga manakala USAS meraih pengalaman berguna walaupun sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.

Biarpun hanya sekadar kejohanan jemputan, namun kejayaan ini pasti menjadi medan berguna buat barisan kejurulatihan Perak bagi mengkaji kelemahan dan kekuatan pasukan dalam menghadapi saingan sebenar pada 23 Jun nanti.

Pemain seperti Firdaus Razali, Mohd Ridzwan Bakri, Mohd Awalluddin Mat Nawi serta bakat muda, Haiqal Danial dan Zakry Asraf bakal menjadi sandaran utama buat Perak dalam usaha Perak menjadi sebagai antara pasukan pilihan untuk muncul selaku juara sulung Liga Premier Futsal Malaysia 2019.

 

Kredit foto: Perak Futsal