MELAKA UNITED GALAS TANGGUNGJAWAB NEGARA DI PIALA FUTSAL AFF 2019

 

Juara Liga Futsal Kebangsaan 2018, Melaka United bakal mengibarkan cabaran negara dalam kempen Piala Futsal AFF 2019 yang akan diadakan di Nakhon Ratchasima, Thailand pada 18 hingga 23 Jun.

Kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Kejuaraan Futsal Kelab AFF itu turut menyaksikan penyertaan dua pasukan ternama di rantau Asia Tenggara iaitu wakil tuan rumah, PTT Chonburi Bluewave dan Black Steel Manokwari dari Indonesia.

Selain itu, Sanatech Khanh Hoa (Vietnam), Myanmar Imperial University (Myanmar) dan kelab Kemboja, Down Town Sport melengkapkan senarai enam pasukan yang akan bersaing merebut mahkota kejuaraan futsal di peringkat serantau itu.

Melaka United berada dalam kumpulan B dan berada satu kumpulan bersama-sama Myanmar Imperial University dan Down Town Sport. 

Mereka akan memulakan saingan pada 18 Jun dengan berdepan wakil dari Myanmar dan keesokannya hari pula akan menanti cabaran daripada Down Town Sport.

Penyertaan kali ini merupakan kali ketiga berturut-turut buat Melaka United pada kejohanan ini yang menyaksikan skuad 'Hang Tuah' itu berjaya meraih tempat ketiga pada edisi 2017 manakala nasib tidak menyebelahi mereka musim lalu apabila gagal melepasi peringkat kumpulan.

Walaupun dibarisi sebahagian besar pemain muda dan tiada lagi kelibat pemain skuad kebangsaan yang menjadi tunjang buat skuad Melaka United pada musim lalu, pentas ini seharusnya menjadi medan terbaik buat ketua jurulatih, Isa Rahim dalam menguji kewibawaan pasukannya terutamanya menjelang saingan Liga Premier Futsal Malaysia 2019.

Ekoran penghijrahan pemain-pemain utama musim lalu, Melaka United kini menyandarkan harapan terhadap nafas baru yang mempunyai potensi besar untuk menyerlah dalam saingan liga musim ini.

Skuad berwajah baru itu akan diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain skuad B-20 kebangsaan iaitu Muhammad Ekmal Shahrin, Najmi Rosli dan Muhamad Erzuan Gapar serta dua pemain utama musim lalu yang masih bersama pasukan, Syahman Idris dan Muhammad Saad Abdul Sani.

Seluruh warga kerja Extravaganza Futsal Shop mengucapkan selamat maju jaya buat Melaka United!