
- blogger
TIPS PEMILIHAN KASUT FUTSAL YANG SESUAI
Kasut yang sesuai merupakan elemen penting bagi seseorang pemain futsal sebelum turun beraksi.
Begitu banyak pilihan kasut futsal di pasaran tanah air pada ketika ini pasti membuatkan anda ‘rambang mata’ untuk memilih kasut yang secocok mengikut citarasa anda.
Boleh dikatakan hampir setiap bulan ada sahaja model kasut terkini yang dikeluarkan oleh jenama-jenama kasut futsal terkenal.
Dalam usaha kami untuk mengurangkan ‘pening kepala’, Extravaganza Futsal Shop (EFS) akan kongsikan beberapa tips berguna yang boleh anda praktikkan sebelum memilih kasut futsal yang sesuai:-
1) Ketahui jenis kaki anda terlebih dahulu
Secara umumnya kaki manusia sebenarnya mempunyai 3 jenis, iaitu normal, flat dan juga high arch.
Ketiga – tiga jenis kaki ini mempunyai kemampuan yang berbeza. Sekiranya anda tidak mengetahui jenis kaki anda, jangan risau kerana promoter atau kakitangan di kedai yang anda kunjungi akan membantu.
Pemilihan kasut sukan futsal berdasarkan jenis kaki perlu diambil kira bagi menjanjikan keselesaan dan keselamatan seseorang pemain. Jauhi daripada kebiasaan memilih kasut yang hanya sedap dipandang mata.
Anda berkemungkinan akan mudah mengalami kecederaan sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan.
2) Keselesaan
Kasut yang mahal dan cantik dipandang tiada guna sekiranya ia tidak menepati keselesaan yang anda perlukan ketika memakai kasut tersebut.
Jika anda memiliki kaki yang lebar, jangan pula berhajat untuk memiliki kasut futsal berbentuk 'slim'.
Cuba kedua-dua belah kasut dengan memakai stokin dan ambil sedikit masa dengan melakukan pergerakan di sekitar kedai bagi menyesuaikan diri dalam mendapatkan keselesaan awal ketika memakai kasut yang dipilih.
3) Kasut yang ringan
Seperti diketahui sukan futsal sememangnya memerlukan pergerakan yang begitu pantas baik ketika bertahan mahupun sewaktu pasukan anda melancarkan serangan ke kubu lawan. Secara logiknya, kasut futsal yang lebih ringan akan lebih membuatkan anda selesa.
Sekira ditanya kepada pemain futsal tanpa mengira status profesional atau amatur, kasut yang ringan akan menjadi pilihan majoriti daripada mereka ketika beraksi.
4) Ikut keperluan bajet anda
Anda mungkin sudah arif tentang harga kasut futsal di pasaran ketika ini. Semakin mahal harga sepasang kasut itu, makin terserlah kualitinya.
Namun, sekiranya bajet anda sedikit terhad, jangan risau kerana masih terdapat kasut berkualiti yang dijual pada harga yang lebih rendah berbanding kasut premium.
5) Material kasut
Anda juga perlu ketahui serba sedikit berkenaan material pembuatan kasut futsal. Kasut yang diperbuat daripada sintetik akan lebih tahan lama berbanding kulit dan kain.
Bagi kulit pula ia akan lebih mengikut bentuk kaki anda manakala material kain yang lembut pula lebih memberikan keselesaan.
Rumusan
Diharapkan tips yang dikongsikan ini dapat menjadi panduan ringkas buat anda untuk membeli kasut futsal yang bakal menjadi 'senjata' ketika anda beraksi.
Untuk mengetahui promosi atau kasut futsal terkini di pasaran tanah air, anda boleh ke laman Facebook dan Instagram rasmi Extravaganza Futsal Shop atau terus ke kedai fizikal EFS di cawangan Ipoh dan Shah Alam.

- blogger
4 KOMUNIKASI EFEKTIF YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN PASUKAN FUTSAL ANDA
Seperti sedia maklum, futsal merupakan sukan yang dimainkan secara berpasukan bagi mencapai misi meraih kemenangan buat pasukan dalam satu-satu perlawanan. Dalam usaha mencapai kemenangan tersebut, komunikasi yang berkesan amat dititikberatkan buat para pemain bagi kekal fokus terhadap misi utama pasukan.
Kesemua pemain yang terlibat perlu bergerak bersama-sama dan berganding erat saat melakukan serangan mahupun ketika bertahan.
Disiplin sebegini wajib diterapkan dalam sesebuah pasukan sekaligus akan menyukarkan pasukan lawan untuk menewaskan pasukan anda.
Kerana itulah pentingnya komunikasi yang efektif dan berkesan dalam permainan futsal buat sesebuah pasukan.
Kali ini kami sertakan cara bagaimana untuk menghasilkan komunikasi yang efektif yang boleh diterapkan dalam pasukan anda:
1) Hentikan 'Blaming Game'
Hal ini merupakan antara masalah kritikal yang sering dihadapi oleh banyak pasukan. Kebanyakkan daripada kita lebih gemar mencari 'kambing hitam' dari memikirkan langkah terbaik untuk kembali bangkit dari kekalahan mahupun ketinggalan.
Hentikan daripada mengkritik corak permainan, sikap dan sindiran terhadap rakan sepasukan seolah-olah anda tidak pernah melakukan kesilapan ketika beraksi.
Perkara negatif ini pasti akan merosakkan keharmonian pasukan sekaligus bakal merencatkan komunikasi yang baik yang diperlukan oleh sesebuah pasukan. Komunikasi akan gagal sekiranya terbit masalah seperti ini.
2) Berkomunikasi dengan mudah dan jelas ketika beraksi
Berikan arahan dengan lebih jelas buat rakan sepasukan anda. Bermain sebagai satu pasukan sangat memerlukan komunikasi yang lebih mudah dan jelas untuk melicinkan perjalanan pasukan dalam satu-satu perlawanan.
Tegur kesilapan yang dilakukan oleh rakan bagi tujuan menyedarkan rakan dan bukannya menghukum rakan diatas kesilapan tersebut.
Sentiasa mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak hilang fokus dalam perlawanan lebih-lebih lagi ketika keadaan genting yang sedang dihadapi pasukan anda.
3) Fokus dan tenang bagi menghadapi sebarang perlawanan
Ketenangan dan fokus sangat diperlukan sebelum anda menghadapi sebarang perlawanan bagi membolehkan anda memberikan tumpuan yang lebih terhadap perlawanan yang akan dihadapi.
Gunakan kesempatan ini untuk meningkatkan moral diri sendiri dan juga pasukan anda. Keadaan ini juga memberikan kelebihan buat anda ketika beraksi dan bakal menjadi senjata untuk beraksi dengan baik ketika perlawanan bermula.
Fokus dan ketenangan yang baik diperagakan akan mewujudkan komunikasi yang berkesan buat anda dan rakan sepasukan.
4) Jangan lupakan kata-kata positif
Komunikasi yang baik bukan sahaja menjurus kepada memberikan arahan, menegur dan mengingatkan rakan sepasukan anda.
Hamburkan pujian kepada mereka diatas perkara yang baik dilakukan ketika beraksi. Pujian dan galakan secara langsung dapat meningkatkan moral rakan yang lain.
Pengurus lagenda, Sir Alex Ferguson berpendapat bahawa: "Tiada siapa yang suka dikritik. Jadi saya cuba untuk memberi galakan apabila saya rasakan. Bagi pemain, untuk mana-mana manusia sebagai manusia, tiada yang lebih baik daripada mendengar perkataan "Syabas."
Kredit foto: Kuala Lumpur City FC

- blogger

- blogger
KETAHUI PERATURAN-PERATURAN ASAS FUTSAL YANG MEMBANTU ANDA SAKSIKAN MPFL 2019
Kehangatan kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 sudah mula dirasakan walaupun saingan baru memasuki perlawanan kedua. Sambutan yang diberikan cukup memberangsangkan tanpa mengira lokasi pertandingan.
Dalam ribuan peminat yang menyaksikan perlawanan-perlawanan hebat kancah futsal tanah air ini pasti ada yang masih kurang arif dengan peraturan permainan. Ia sememangnya terdapat peraturan yang berbeza berbanding 'liga haram'.
Penulis sendiri telah ditanyakan satu soalan daripada peminat futsal yang pelik mengapa sepakan penalti kedua (second spot) diberikan selepas kekasaran keenam dilakukan.
Di kesempatan ini kami ingin berkongsikan kepada anda mengenai beberapa peraturan asas dalam futsal yang mampu untuk membantu anda sekiranya menyaksikan perlawanan MPFL 2019.
20 minit masa permainan
Perlawanan futsal melibatkan dua separuh masa permainan dimana setiap separuh masa selama 20 minit masa bermain yang sebenar. Untuk pengetahuan anda, waktu permainan akan dihentikan setiap kali bola keluar atau permainan berhenti.
Masa permainan akan disambungkan semula sebaik sahaja permainan kembali berlangsung.
Time out
Setiap pasukan akan mendapat satu minit ‘time out’ dalam setiap separuh masa. Tiada ‘time out’ sekiranya perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Penggantian pemain tanpa had
Setiap pasukan yang beraksi terdiri daripada tidak lebih daripada lima orang pemain (penjaga gol dan empat pemain di gelanggang) dan sembilan orang pemain simpanan. Tiada sekatan ke atas bilangan penggantian yang dibuat semasa perlawanan.
Gantian pemain boleh dibuat pada bila-bila masa, sama ada bola berada dalam permainan atau tidak. Namun, gantian pemain perlu dibuat hanya dalam zon penggantian yang telah ditanda khas.
Penggantian pemain dibuang padang
Sekiranya seseorang pemain menerima kad merah, pemain gantian masih boleh menggantikan pemain yang dibuang padang, namun perlu menunggu selepas dua minit pemain tersebut dibuang padang.
Pemain gantian juga boleh masuk ke gelanggang tanpa perlu menunggu dua minit sekiranya pasukannya dibolosi ketika mereka kekurangan pemain.
Penjaga Gol
Penjaga gol hanya mempunyai masa empat saat untuk memegang mahu pun mengawal bola dalam kawasan sendiri. Penjaga gol juga tidak boleh menyentuh kembali bola sekiranya hantaran dilakukan rakannya tanpa disentuh pihak lawan.
Kesalahan terkumpul dan sepakan penalti kedua (second spot penalty)
Sekiranya sesebuah pasukan telah melakukan 6 kesalahan dalam permainan, pasukan lawan akan diberikan sepakan penalti kedua (second spot).
Sepakan boleh diambil sama ada dari tanda sepakan penalti kedua, yang berada pada kedudukan empat meter di belakang yang pertama, atau dari tempat yang lebih dekat kepada kawasan penalti jika kekasaran itu telah dilakukan di antara garisan gol dan tanda sepakan penalti kedua.
Kredit foto: Selangor MAC Futsal

- blogger
6 TIPS BERGUNA KETIKA MENGHADAPI LAWAN YANG LEBIH BAIK DARI PASUKAN ANDA
Terpaksa berhadapan dengan pasukan futsal yang lebih baik dan kuat berbanding pasukan anda adalah antara situasi yang mungkin bakal menghadirkan sedikit kegusaran buat anda dan rakan sepasukan.
Lebih-lebih lagi sekiranya lawan terdiri daripada para pemain yang cukup berkualiti.
Namun jangan biarkan kegusaran ini terus membelenggu dan membuatkan pasukan anda kecundang sebelum melangkah masuk ke gelanggang. Paling utama adalah anda jangan panik dengan perkara ini.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda lakukan bagi menghadapi lawan yang lebih kuat berbanding pasukan anda.
1) Semai semangat tidak berputus asa dalam perlawanan
Jangan hiraukan apa sahaja status mahupun keupayaan lawan yang ditentang. Bermainlah seperti kebiasaan dan pamerkan semangat melawan yang luar biasa bagi mengkucar-kacirkan pasukan lawan.
Jangan mudah terganggu dengan keputusan perlawanan walaupun ianya kurang memihak buat pasukan anda ketika itu. Setiap saat yang dimiliki dalam perlawanan sangat berguna dan harus digunakan sebaiknya oleh anda.
Jangan sesekali menyerah kalah kerana ianya akan menyulitkan perjalanan pasukan anda pada perlawanan tersebut.
2) Kawalan 'Man to Man'
Menentang pasukan sedemikian sudah pasti dibarisi dengan pemain yang lebih baik dari segenap aspek seperti kawalan bola, individu serta memiliki keupayaan rembatan cukup berkualiti.
Oleh itu anda seharusnya tidak membenarkan pemain tersebut dari mengawal bola dalam jangkamasa yang lama.
Sekiranya seorang dari pemain anda sudah mengawal pemain yang bersama bola, pemain lain harus mengawal pemain lawan tanpa bola untuk menyukarkan pemain yang mempunyai bola untuk melakukan hantaran bagi memperoleh jaringan.
Perhatikan juga jarak yang sesuai buat anda ketika melakukan kawalan kerana jika jaraknya terlalu dekat akan membuatkan mereka mampu untuk melepasi anda.
Manakala jarak terlalu jauh pula akan memberikan pilihan yang lebih luas buat pemain lawan untuk membuat sesuatu terutamanya hantaran dan rembatan kearah gol.
Sangat penting bagi anda untuk mengawasi dengan ketat pemain lawan supaya dapat menghalang sebarang rembatan berbahaya kearah gol anda sendiri.
3) Mengekalkan sikap yang positif
Terapkan sikap dan pemikiran yang positif dalam diri setiap pemain pasukan anda. Letakkan keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan diri sendiri dan juga rakan-rakan dalam menghadapi perlawanan tersebut.
Setiap pemain juga perlu mempunyai motivasi yang tinggi dalam satu-satu perlawanan. Letakkan kepercayaan yang anda bakal mendapat sesuatu dari perlawanan itu.
4) Sentiasa 'bercakap' bagi mengingatkan rakan sepasukan
Anda perlukan komunikasi yang baik bagi mengekalkan tahap usaha yang berterusan buat pasukan anda. Ingatkan rakan sepasukan bagi terus waspada terhadap apa yang berlaku di gelanggang.
Antaranya seperti mengingatkan rakan sepasukan yang tidak mengawal pemain lawan dan juga memberikan arahan supaya menutuip ruang yang terbuka luas serta banyak lagi.
Berikan galakan buat rakan sepasukan dan meningkatkan moral mereka dengan nasihat ringkas yang boleh dipraktikkan.
5) Jangan terlalu fokus untuk bertahan sehingga lupakan serangan
Dalam keadaan menentantg pasukan yang lebih baik, pastinya corak bertahan yang akan digunakan.
Namun jangan takut untuk membuat serangan bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pemain pasukan anda.
Berusaha untuk memegang bola dengan lebih lama, membuka peluang hantaran dan sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit tekanan apabila anda diserang bertubi-tubi.
Ketika ini kepintaran dan ketenangan pemain sangat diperlukan bagi menghadapi tekanan seperti ini.
6) Kekalkan disiplin di tahap terbaik
Pada ketika ini elakkan dari melakukan perkara yang bakal merugikan pasukan anda.
Terjahan keras yang melampau, melawan keputusan pengadil, pergeseran dan banyak lagi akan lebih memberikan risiko bahaya buat pasukan disaat pasukan sangat memerlukan kudrat kesemua pemainnya.
Latih diri untuk menjadi lebih fokus pada keutamaan pasukan.