KELEWATAN LIGA DOMESTIK  "RENCATKAN" MISI BESAR SKUAD FUTSAL NEGARA

 

Kelewatan tirai Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) dibuka serta dikhabarkan hanya akan bermula pada pertengahan Jun ini nyata menjadi kerisauan buat skuad futsal kebangsaan dalam menghadapi saingan Kejuaraan Futsal AFF 2019 yang bakal berlangsung di Vietnam.

Saingan serantau tersebut dijangka berlangsung pada 21 hingga 27 Oktober 2019 tetapi sehingga kini (bulan Mei) skuad negara masih belum dikumpulkan sekurang-kurangnya untuk menjalani latihan pusat kerana kempen liga tempatan yang masih belum bermula.

Lebih menjadi kerisauan adalah Kejuaraan Futsal AFF 2019 merupakan medan buat skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu dalam usaha merebut salah satu daripada empat tiket ke Kejuaraan Futsal AFC 2020 yang diadakan di Turkmenistan.

5 pasukan terbaik dalam saingan AFC pula akan menjejakkan kaki ke Lithuania bagi mewakili benua Asia pada aksi Piala Dunia Futsal 2020.

Keadaan ini memberikan gambaran yang cukup jelas bahawa kempen Kejuaraan Futsal AFF tahun ini yang menyaksikan Malaysia berada di kumpulan B bersama-sama Australia, Indonesia dan Myanmar adalah cabaran yang sangat penting buat skuad negara.

Bukan mahu menunding jari terhadap mana-mana pihak, namun ia tidak seharusnya berlaku kerana pasukan futsal Malaysia merupakan antara kuasa besar sukan lima sebelah itu di Asia Tenggara.

Perhatian lebih khusus seharusnya menjadi keutamaan pihak bertanggungjawab dalam memberikan sokongan buat pasukan futsal negara berdasarkan prestasi memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Seperti jelas kelihatan bahawa perubahan dalam saingan liga domestik yang cuba dipraktikkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menjadikan saingan liga futsal profesional menjurus kepada kelewatan sepak mula saingan musim ini.

Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan sehingga menjejaskan persiapan skuad negara yang bakal berdepan misi besar tahun ini.

Diharapkan segala permasalahan yang membelenggu ketika ini dapat ditangani dengan langkah lebih proaktif dalam melahirkan liga tempatan bermutu tinggi serta dalam masa sama dapat meningkatkan kualiti skuad kebangsaan ke tahap lebih baik.