6 TIPS SERANGAN YANG BERMANFAAT BUAT PASUKAN FUTSAL ANDA
 
 
Sesebuah pasukan yang ampuh dihadapan gol lawan serta mampu mencipta pelbagai gerakan yang baik dalam situasi menyerang, mempunyai kelebihan untuk mencatatkan kemenangan dalam satu-satu perlawanan dihadapi.

Kelebihan penyudah berkesan dihadapan gawang lawan serta kental bertahan ketika diasak memberikan peluang lebih cerah buat pasukan anda bagi mendominasi perlawanan seterusnya bakal keluar gelanggang selaku pemenang.

Terdapat beberapa amalan serta prinsip yang perlu diperhatikan dengan lebih mendalam disaat anda berusaha bagi mencari peluang yang terbaik untuk menceroboh kawasan pihak lawan.

Berikut disertakan beberapa tips yang perlu dipandang serius dan boleh diperbaiki oleh para pemain dalam misi melancarkan serangan yang terbaik buat pasukan anda:


1) Membuka ruang untuk rakan sepasukan

Perkara ini bertujuan untuk memudahkan rakan sepasukan anda yang sedang mengawal bola untuk menghantar bola kepada anda bagi langkah serangan seterusnya.

Berikan bantuan (buka ruang) sebaiknya kepada rakan anda tanpa mengira dalam keadaan berdekatan mahupun jauh daripadanya untuk mencipta peluang dan melancarkan serangan.

Manfaatkan segenap kawasan gelanggang dengan membuka ruang yang terbaik.


2) Tidak hanya berdiri statik

Anda mesti bergerak untuk mendapatkan bola dari rakan sepasukan dan bukannya hanya menanti untuk bola sampai kepada anda.

Pemain lawan yang baik akan terlebih dahulu dapat mematahkan hantaran yang diberikan sekiranya anda hanya statik menunggu bola.

Keadaan ini juga pasti akan menyulitkan tugas rakan sepasukan untuk melakukan hantaran sekiranya menerima 'pressing' dari pemain lawan dan sukar untuk keluar daripada 'pressing' tersebut.

Bantu rakan sepasukan anda tersebut dengan bergerak aktif mahupun mengamalkan 'check in & check out' yang mampu mengelirukan pemain lawan untuk anda berada pada posisi yang tepat untuk membantu rakan.

Amalkan juga kaedah 'pass and move'.


3) Jangan terlalu lama mengawal bola

Seperti kebiasaan, futsal merupakan sukan yang dimainkan secara berpasukan.

Kurangkan tabiat suka mengawal bola terlalu lama kerana berkemungkinan besar anda akan kehilangan penguasaan bola sekiranya berdepan dengan pemain lawan yang lebih baik.

Amalkan corak hantaran pantas dan cermat kepada rakan anda seterusnya pantas untuk mencari ruang kosong dalam usaha membangunkan serangan pasukan anda.


4) Mengkucar-kacirkan pertahanan lawan

Lancarkan serangan yang dapat menghadirkan tekanan kepada pemain lawan.

Gunakan kualiti dalam 'dribbling' dan hantaran yang dimiliki untuk membina serangan tersebut.

Berhati-hati dalam membuat hantaran kerana kesilapan tersebut akan membuatkan pemain lawan berpeluang untuk melakukan serangan balas pantas.

Kekal tenang dan tidak tergesa-gesa untuk membuat serangan ini.

Persefahaman dan komunikasi yang baik sesama rakan sepasukan memberikan kelebihan dalam usaha tersebut.


5) Gunakan formasi menyerang yang baik

Ubah formasi mengikut kesesuaian yang diperlukan berdasarkan kualiti pemain yang dimiliki, corak permainan lawan mahupun keputusan perlawanan yang boleh dipraktikkan.

Anda boleh menggunakan kombinasi serangan seperti mengubah formasi dari 1-2-1 berubah menjadi formasi 1-3 kemudian berganti lagi 1-2-1 dan sebagainya (mengikut keperluan).

Keadaan ini diperlukan bagi mengelirukan pemain lawan kerana keadaan formasi yang berubah-ubah akan turut menjejaskan fokus dalam usaha mereka mengawal situasi ini.


6) Sempurnakan peluang yang terhidang dengan penyudah yang baik

Mengawal permainan serta melancarkan serangan bertubi-tubi tanpa menghasilkan jaringan adalah satu perkara yang merugikan buat sesebuah pasukan.

Rembatan padu serta tepat ke sasaran yang diinginkan sangat diperlukan bagi menghasilkan jaringan setelah berjaya berhempas pulas mencipta ruang yang terbaik.