5 TIPS KEKAL AKTIF BERFUTSAL DI BULAN RAMADAN

 

Kita sudah memasuki hari pertama bulan Ramadan, kedatangan bulan yang ditunggu-tunggu ini tidak seharusnya menjadi masalah buat kaki futsal beragama Islam yang sudah biasa menjalani aktiviti futsal pada malam hari.

Tanpa meninggalkan ibadah ketika bulan ini, anda juga masih boleh beraksi di gelanggang bagi membantu pembakaran lemak selepas berbuka puasa. Perkara yang paling penting perlu anda berikan perhatian adalah sentiasa menyesuaikan tahap aktiviti yang anda lakukan dengan keadaan tubuh menjalani ibadah puasa pada siang hari.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh diikuti umat islam bagi aktiviti berfutsal ketika bulan Ramadan:

1) Kurangkan makanan yang terlalu berat ketika berbuka puasa

Anda disarankan untuk makan secara ala-kadar untuk mengalas perut sekiranya anda ingin berfutsal selepas selesai urusan di bulan ramadhan. Makanan yang dinikmati akan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk dihadamkan.

Tiada masalah untuk makan nasi namun perlu dikurangkan agar anda lebih selesa ketika ingin berfutsal nanti. Anda juga digalakkan untuk tidak mengambil makanan berminyak.

Buah kurma dan pisang sangat baik untuk alas perut sebelum anda beraksi. Selepas selesai berfutsal, anda boleh mengambil makanan yang lebih berat untuk menampung kembali tenaga yang telah digunakan.


2) Minum air masak yang mencukupi

Minum air masak yang mencukupi bagi mengelakkan anda mengalami 'dehidrasi' tetapi anda perlu minum dalam kadar yang berperingkat bagi mengelakkan 'kembung perut'.

Air yang mencukupi penting kerana anda akan menggunakan tenaga ketika solat terawikh dan juga sewaktu berfutsal. Minuman isotonik atau air kelapa untuk menggantikan air dalam badan selepas bermain juga penting kerana keesokannya anda akan berpuasa.


3) Mulakan dengan pemanasan badan dan akhiri dengan regangan yang baik

Perkara ini sangat penting bagi memberikan otot anda bersedia untuk melakukan kerja. Hal ini dapat membuatkan anda lebih bersedia ketika beraksi dan juga dapat meregangkan otot ketika selesai beraksi.


4) Kurangkan intensiti anda sewaktu beraksi

Jika pada bulan sebelumnya anda mungkin mampu beraksi 20 minit tanpa henti, pada bulan ramadhan ini kurangkan sedikit tempoh tersebut. Ianya bertujuan untuk memberikan sedikit masa rehat pada tubuh anda dari bekerja keras sewaktu bermain.

Kerapkan waktu berehat dan apabila sudah bersedia boleh kembali masuk ke gelanggang untuk beraksi. Kadar masa 10 minit tanpa henti mungkin sesuai untuk bulan ini.


5) Jangan main terlalu lewat

Jangan amalkan bermain futsal terlalu lewat. Perkara ini diragui anda akan terlepas waktu bersahur kerana di dalam sahur itu terdapat keberkatan.

Di samping itu juga ia dapat mengelakkan anda mengalami kepenatan yang melampau ketika bekerja di siang hari.


Kesimpulan

Seperti sedia maklum, bulan Ramadhan merupakan bulan dimana umat islam berlumba-lumba mencari keberkatannya. Namun tidak menjadi masalah sekiranya anda ingin kekal aktif berfutsal. Dalam usaha untuk kekal aktif itu jangan dilupakan pada amal ibadah bulan Ramadan.

Selamat menyambut Ramadan buat semua!

 

Kredit foto: Selangor MAC Futsal