Futsal Bola Sepak

Futsal: Landasan Utama Asah Kemahiran Pemain Yang Boleh Diterapkan Dalam Bola Sepak

Facebook
Twitter
Pinterest
WhatsApp
Telegram

Mengapa futsal dikatakan sebagai tempat pembelajaran yang hebat untuk kemahiran yang boleh diterapkan sepenuhnya dalam bola sepak?

Walaupun futsal dan bola sepak berkongsi asas yang serupa, beberapa ciri futsal menjadikannya sukan lima sebelah ini landasan terbaik dalam mengembangkan kemahiran pemain, kepantasan membuat keputusan dan pemikiran pantas.

Sehubungan dengan itu, ciri-ciri dalam sukan futsal dapat membantu pemain remaja atau muda untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bola sepak.

Antara ciri-ciri yang dimaksudkan ialah:

1) Gelanggang lebih kecil dan pemain yang lebih sedikit

Disebabkan ruang yang terhad dan pemain lebih sedikit (lima pemain setiap pasukan), pemain akan banyak terlibat dengan bola dan memerlukan mereka lebih mahir dalam mengawal bola dan melakukan hantaran tepat.

Sekiranya pemain tidak mempunyai kemampuan tersebut, mereka akan mudah kehilangan penguasaan bola.

Oleh itu, dengan aksi di ruang yang lebih sempit, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemampuan pemain dalam membuat keputusan dan kemahiran ketika mengawal bola serta melakukan hantaran.

2) Bola yang lebih kecil dan lebih berat

Futsal dimainkan dengan bola saiz 4 berbanding bola sepak iaitu saiz 5. Bola yang lebih berat dan kurang melantun akan memberikan sedikit kesukaran kepada pemain.

Tetapi, ia sebenarnya bagus sekiranya pemain dapat menyesuaikan keadaan tersebut sekali gus membantu dalam meningkatkan kemampuan ketika melakukan kawalan, hantaran dan rembatan.

3) Masa permainan yang lebih pendek

Perlawanan futsal berlangsung selama 40 minit keseluruhan (20 minit setiap separuh masa). Ini bermakna kelajuan dan kelancaran adalah ciri utama.

Pemain perlu bergerak serta berfikir dengan pantas untuk berada di kawasan lawan secepat mungkin dalam usaha mendapatkan jaringan.

4) Membuat keputusan

Oleh kerana futsal adalah sukan yang cukup pantas, ia meningkatkan kemahiran pemain untuk membuat keputusan.

Mereka juga sentiasa berhadapan dengan dan menyelesaikan masalah permainan, kerana mereka perlu mencari sudut dan ruang serta bekerja dengan kombinasi pantas bersama rakan sepasukan kerana selain daripada memburu jaringan, ancaman serangan balas juga sentiasa wujud.

5) Lebih banyak sentuhan bola 

Seperti dinyatakan pada ciri pertama, pemain futsal akan banyak menyentuh bola lebih kerap berbanding dalam bola sepak kerana saiz gelanggang dan jumlah pemain lebih kecil berbanding bola sepak.

Ruang yang lebih kecil memerlukan lebih banyak kawalan bola dan kemahiran teknikal. Ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran bola mereka dengan ketara.

6) Lebih kreatif dan yakin

Untuk mengkucar-kacirkan pertahanan dan mencipta ruang untuk diri sendiri dan rakan sepasukan, pemain perlu kreatif dan mempunyai keyakinan dalam gerakan mereka.

Kemahiran dan teknik ini lebih diutamakan berbanding keadaan fizikal. Jika pemain dapat menguasai perkara ini, mudah buat mereka untuk menterjemahkan perkara sama dalam bola sepak.

Kredit Foto: TOT United Futsal Club 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart