Sudah menjadi impian setiap pemain futsal tanpa mengira peringkat umur untuk menjadi seorang pemain futsal yang baik dan berkualiti.
Bagi mencapai tahap sedemikian bukanlah semudah yang disangka kerana pelbagai perkara dan sikap yang positif perlu diterapkan dalam diri setiap pemain futsal bagi merealisasikan impian besar tersebut.
Pemain terbaik dunia seperti legenda, Ricardinho sekalipun begitu berusaha keras ketika sesi latihan dan amat menghormati idolanya iaitu Falcao untuk mencapai tahap seperti yang beliau kecapi kini.
Bakat yang dikurniakan perlulah disulami dengan beberapa aspek positif dalam melahirkan seorang pemain yang baik di dalam dan di luar gelanggang agar anda dapat menjadi seorang pemain yang terus berjaya dalam sukan ini.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda jauhi dalam usaha untuk anda lebih berjaya dalam futsal:
1) Mengambil mudah tentang sesi latihan dan gaya hidup tidak sihat
Umum mengetahui bahawa latihan adalah asas kepada kejayaan sesebuah pasukan.
Sesi latihan juga merupakan elemen penting buat seseorang pemain kerana latihan bagi seseorang pemain adalah perkara yang tak berpenghujung.
Seandainya anda seorang pemain yang bagus sekalipun anda masih memerlukan latihan untuk terus memperbaiki apa yang kurang dalam aksi anda.
Pemain di peringkat tertinggi juga begitu mementingkan sesi latihan. Komitmen anda ketika sesi latihan harus diterjemahkan ketika beraksi dalam mana-mana perlawananan.
Bekerja keras dalam sesi latihan untuk menjadikan anda seorang pemain yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Dengan kesungguhan yang tinggi tidak mustahil anda mampu kekal berjaya dalam sukan ini dan menjadi pemain futsal yang baik.
Tidur lewat, kuat merokok dan tidak menjaga pemakanan juga menjadi masalah yang sering dipandang ringan oleh sebahagian besar pemain walaupun sudah di saingan profesional.
2) Bersikap kurang menyenangkan (ego) terhadap rakan sepasukan dan jurulatih
Perasaan ego merupakan satu sikap yang bakal memusnahkan karier seseorang pemain. Apabila merasakan anda sudah terlalu bagus berbanding orang lain, akan timbul perasaan seperti ini.
Sekiranya ego sudah menguasai diri, anda akan mula hilang rasa hormat terhadap orang lain dan juga mungkin pada jurulatih anda.
Untuk menjadi pemain yang baik, sikap merendah diri begitu diperlukan bagi menghadapi persaingan yang lebih hebat satu masa nanti dengan kehadiran lebih ramai pemain yang lebih baik dari anda.
Andai berterusan dengan sikap sedemikian tidak mustahil anda akan terus hanyut dek kehebatan orang lain.
Menghormati jurulatih juga sangat diperlukan untuk menjadikan anda seorang pemain yang baik. Jurulatih juga boleh diumpamakan sebagai guru yang memberikan ilmu kepada anda.
Terdapat pemain yang tidak menghormati jurulatih kerana beranggapan mereka sudah hebat dalam futsal tetapi kesudahannya tidak akan bertahan lama atau gagal melangkah lebih jauh dalam sukan ini.
3) Tidak hanya memandang wang sebagai keutamaan
Tidak dapat dinafikan wang merupakan perkara yang penting untuk kehidupan seharian kita.
Pada peringkat awal jadikan ianya sebagai medan untuk mengasah bakat dan juga pengalaman untuk menjadi seorang pemain yang baik. Bersabar kerana sekiranya anda telah mencapai tahap yang terbaik, rezeki akan datang dengan mudah kerana keupayaan anda yang baik dalam futsal.
Sebagai contoh sekiranya anda ditawarkan beraksi dalam mana-mana pasukan di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), pilihlah tawaran dengan baik kerana bakat anda sudah berjaya dikesan.
4) Kurang motivasi untuk memajukan diri
Seperti yang dinyatakan sejak mula, bukan mudah untuk menjadikan diri anda sebagai seorang pemain futsal yang baik.
Anda perlu mempunyai keazaman yang kuat dalam diri untuk meningkatkan prestasi sekligus memajukan diri anda dalam futsal.
Tetapkan pemikiran dimana untuk menjadi pemain yang baik dari segala segi anda perlu memantapkan aspek disiplin, komitmen dan kesungguhan dalam diri anda untuk maju.
Percayalah bahawa semua ini amat diperlukan untuk menjadikan anda pemain futsal yang baik.
Kredit Foto: Bluewave Chonburi Futsal Club